KEPEMIMPINAN DAN PENGURUSAN

Asalamualaikum WHB... salam sejahtera. Sudah lama saya tidak menulis dan berbicara berkenaan kepimpinan dan kepengurusan sejak tamat pengajian pengurusaan dan pentadbiran pada tahun 1994. Semasa itu Yang Amat Berhormat Mohamad Najib bin Tun Razak adalah Menteri Pelajaran Malaysia. Banyak sangat teori dan fahaman Kepimpinan dan kepengurusan kita kupas serta cuba menghayati satu konklusif yang total. Malangnya dalam kepimpinan dan pengurusan didapati asasnya adalah hampir sama pada kualiti yang sepatutnya ada kepada seseorang pemimpin. Yang membeza antara kejayaan dan kegemilangan seseorang pemimpin adalah kejelasan tujuan dan matlamat arah kepimpinan yang akan dilaksanakan dan ini juga melibatkan waktu yang tepat. " At the right place in the right time"

 
Dalam sesebuah organisasi, kepemimpinan adalah proses yang melaksanakan fungsi-fungsi pengarahan. Justeru, apakah perbezaan seorang pemimpin dan pengurus? Kepemimpinan berbeza daripada pengurusan.
 
Bennis dan Nanus (1985) percaya asas kepada perbezaannya terletak kepada definisi mengurus dan memimpin. ‘Mengurus’ bermaksud bertanggungjawab terhadap sesuatu dan mengendali manakala ‘memimpin’ pula melibatkan mempengaruhi memandu arah pengikutnya.
 
Pengurusan bergantung kepada kuasa sah yang rasmi untuk mempengaruhi orang lain dan ia juga memberi penekanan kepada kecekapan sebaliknya, Kepimpinan menggunakan proses pengaruh sosial untuk mempengaruhi pengikut dan memberi fokus kepada keberkesanan. Gardner (1990) juga percaya bahawa pemimpin berfikir untuk jangka panjang, memahami hubungan kumpulannya dengan organisasi luar, mereka juga cuba menjangkau dan mempengaruhi konstituensi diluar sempadan kuasanya, memberi penekanan kepada visi, nilai dan motivasi, mempunyai kemahiran berpolitik dan selalu berfikir tentang pembaharuan. Pemimpin tidak berpuas hati dengan status quo sebaliknya, mereka lebih gemar memberi cabaran dan inspirasi kepada pengikut mereka semasa bekerja bersama dalam mencapai visi organisasi .

Bennis dan Nanus (1985) mengatakan dengan memberi fokus kepada visi, pemimpin tersebut beroperasi dengan menggunakan sumber emosi dan rohani organisasi, nilai-nilainya, iltizam dan aspirasi. Ini berbeza dengan pengurus yang beroperasi dengan menggunakan sumber fizikal organisasi iaitu dananya, kemahiran manusia, bahan mentah dan teknologi’. Witherspoon (1997) mencadangkan pemimpin dan pengikut mempunyai peranan yang berkaitan dan saling bergantungan. Hasil dari pergantungan ini, kepimpinan sebenarnya dianugerahkan oleh pengikut. Dengan itu pengikut yang baik akan menghasilkan pemimpin yang baik. Edgar Schein (1965) juga berpendapat, di dalam organisasi yang berkesan terdapat paduan di antara kepimpinan yang baik dan kepengikutan yang baik .
 
KEPIMPINAN Kepimpinan di takrifkan sebagai proses mempengaruhi kegiatan manusia supaya mereka berusaha ke arah pencapaian matlamat organisasi. Terdapat tiga faktor penting yang mempengaruhi kepimpinan iaitu:

 Kepimpinan melibatkan pihak lain sama ada pekerja bawahan atau pengikutnya.
 Pemimpin mempunyai autoriti untuk mengarah pengikutnya dan ia menjadi simbol kekuasaan yang dimilikinya.
 Pemimpin mempunyai daya mepengaruhi melalui arahan bagi memastikan pekerja bawahan melaksanakan tugas.

PENGURUSAN
Pengurusan didefinisikan sebagai proses yang melibatkan perancangan, penyusunan, pengarahan, dan pengawalan usaha-usaha ahli-ahli organisasi dan menggunakan sumber organisasi secara cekap dan berkesan bagi mencapai matlamat organisasi. Pengurusan berkait dengan kuasa mengikut priority manakala kepimpinan menggunakan kuasa melalui pengaruh.

PERANCANGAN : merujuk kepada pembentukan objektif sesebuah organisasi untuk mencapai matlamat penubuhan organisasi. Perancangan melibatkan strategi yang akan dilaksanakan dalam proses mencapai matlamat organisasi.
PENYUSUNAN: Proses menstruktur organisasi supaya dalam menggunakan sumber organisasi dengan lebih cekap dan berkesan.
PENGARAHAN: proses memimpin , mengarah dan memotivasi ahli organisasi supaya melaksanakn tugas dengan cekap dan berkesan.
PENGAWALAN: proses memeriksa dan membanjingkan prestasi semasa dengan objektif organisasi serta melaksanakan pembaikan sekiranya terdapat kekurangan pada perjalanan organisasi.
Kesimpulan, kepimpinan dan pengurusan mempunyai definisi dan takrifan yang berbeza. Namun dalam konteks pentadbiran organisasi, kedua-dua elemen ini amat penting dalam pencapaian matlamat organisasi. Sekiranya kita melihat dua perkara ini secara berbeza, maka ianya perkara berbeza.
 
Antara Ciri - Ciri  Pemimpin yang Baik
1. Tajam pemikiran.
Pemimpin yang berkarisma dapat membaca masa hadapan berdasarkan pemahamannya terhadap suasana semasa. Dia mampu memahami isu-isu semasa dengan baik dan membuat persiapan terhadap sebarang kemungkinan. Pujangga Islam ada menyebut, “Orang yang tajam pemikirannya memahami perkara sebelum ia berlaku dan orang awam memahami perkara setelah ia berlaku”.
2. Pandangan Yang Melangkau Waktu( Berpandangan Jauh).
Pemimpin yang berkarisma mempunyai kuasa maklumat di hujung jari-jemarinya. Ia adalah seorang pendengar yang baik dan mampu mengenalpasti punca masalah dengan cepat. Biasanya dia boleh menganalisis persekitaran dan menyesuaikan tindakannya dengan persekitaran tersebut umpama seekor helang yang melihat ke bawah dari langit yang tinggi.
3. Kreatif dan inovatif
Kreatif bermaksud mencetus sesuatu idea yang baru, manakala inovatif bermaksud melaksanakan pembaharuan kepada sesuatu yang sedia ada. Pemimpin yang kreatif adalah pemimpin yang memimpin dan bukan dipimpin. Ia mendahului dan mempunyai wawasan. Pemimpin sebegini biasanya diikuti kerana dia berjaya mengukir imej dan persepsi yang jelas dalam minda pengikutnya tentang matlamat yang hendak diperjuangkan.
4. Berani mengambil risiko.
Peluang sentiasa muncul di depan mata. Tetapi tidak semua yang berupaya membezakan antara peluang dan ancaman. Pemimpin yang biasa hanya melihat ancaman dalam sesuatu krisis. Namun pemimpin yang hebat dapat melihat peluang dalam sesuatu krisis. Sifat bijak mengeksploitasi peluang untuk mendapatkan hasil yang maksimum dan berani berhadapan risikonya adalah ciri-ciri seorang pemimpin berkarisma.
5. Tahu keutamaan.
Berfikir secara sistematik amat penting apabila seseorang berhadapan dengan pilihan sedangkan ia perlu dilakukan dengan pantas dan tepat. Pemimpin yang berkarisma tidak mudah melatah. Dia tahu mendahulukan apa yang utama. Di samping itu dia tidak mengenepikan hal yang remeh.
6. Keperibadian yang tinggi.
Keperibadian atau akhlak yang tinggi adalah tunjang kepercayaan orang lain kepada kita. Antara sifat-sifat keperibadian yang tinggi adalah sabar, tegas, berani dan bertimbang rasa. Pemimpin yang memiliki keperibadian yang tinggi dilihat sebagai pemimpin yang berkarisma. Kata Imam Al-Ghazali, “tongkat yang bengkok tidak mungkin menghasilkan bayang-bayang yang lurus.”
7. Kemahiran berinteraksi
Kebanyakan pemimpin yang hebat adalah orang yang bijak berkomunikasi. Kehadiran mereka sentiasa menjadi tumpuan ramai. Pemimpin yang hebat bukan sahaja bijak berinteraksi secara lisan, malah bahasa badan mereka juga menonjolkan karisma pada diri mereka.
8. Keimanan yang teguh
Karisma juga dapat dilihat pada wajah orang yang dekat dengan Allah. Mereka dikatakan mempunyai ‘nur’ atau cahaya pada wajahnya. Keimanan yang teguh di dalam hati mereka terpancar pada rupa fizikal mereka. Kebiasaannya mereka kelihatan tenang dan meyakinkan.

9. Melebarkan kepimpinan

Sifat ini termasuk dalam kebijaksanaan seorang pemimpin, iaitu mengatur pengganti-penggantinya. Jika dia seorang yang berpengetahuan, dia berkongsi dengan pengikutnya. Jika dia mempunyai kemahiran, dia menurunkan kepada anak buahnya. Dalam kata lain, dia menyediakan barisan pelapis yang sama hebat atau lebih hebat daripadanya. Dengan yang demikian, sesebuah organisasi tidak hanya bergantung pada seseorang dan akan bertambah cemerlang selangkah dengan peredaran masa.
 
 

GET YOUR OWN TRONEXUS SIM CARD





Comments