SEJARAH ASAL USUL KETURUNAN ETNIK MELAYU SARAWAK, BORNEO
Hasil Nukilan – Borneo Oracle
Sarawak Bumi Kenyalang sememang terkenal dengan kepelbagaian kaum serta kekayaan warisan dan budaya yang sentiasa dijaga sehingga ke hari ini.
Walaupun kaya dengan kepelbagaian kaum serta berlainan warisan dan budaya tetapi toleransi kaum dan agama tidak pernah menjadi satu isu buat Bangsa Sarawak di Sarawak Bumi Kenyalang. Bagi mereka yang cuba MENIDAKKAN kewujudan Bangsa Sarawak dari etnik Melayu di Sarawak maka itu adalah KENYATAAN DANGKAL yang harus ditolak sama sekali.
Sesungguhnya MELAYU SARAWAK ITU ADA dan penglibatan mereka di dalam mewarnai dunia Sarawak Bumi Kenyalang telah wujud sejak Sarawak masih lagi menjadi tanah kuripan kepada pembesar Kesultanan Brunei Darussalam dan Negara Sarawak sewaktu diperintah oleh Dinasti Brooke selama lebih 100 tahun dan seterusnya Sarawak Bumi Kenyalang, Malaysia sekarang. Dari genre Bangsa Sarawak, Borneo Oracle akan cuba membuat pencerahan mengenai etnik Melayu Sarawak yang jika dilihat kepada asal keturunannya mempunyai sejarah warisan yang unik di dalam Dunia Melayu Nusantara.
Di dalam pencerahan mengenai dunia Melayu Sarawak tidak boleh tidak kita harus menyelami asal-keturunan masyarakat Melayu Sarawak yang terbahagi kepada 4 kategori yang mempunyai warisan keturunan yang berlainan. Melayu Sarawak itu adalah Melayu Perabangan, Melayu Arab, Melayu Brunei dan Melayu Campuran Sarawak.
1. Melayu Perabangan Sarawak
Malar keluarga “Abang” bagi lelaki dan “Dayang” bagi perempuan adalah salah satu malar keluarga (surname) bagi satu komuniti masyarakat Melayu Sarawak dan mereka lebih dikenali sebagai Melayu Perabangan. Uniknya Melayu Perabangan ini adalah kerana betapa dekatnya asal-usul keturunan mereka di dalam kancah pentadbiran Sarawak Bumi Kenyalang dari dulu sehingga sekarang.
Gelaran “Melayu Datu-Datu” juga memperkatakan tentang perihal Melayu Perabangan kerana melalui merekalah wujudnya gelaran Datu Patinggi, Datu Bandar, Datu Mufti dan Datu Setia Raja yang mana gelaran ini masih lagi digunapakai sehingga sekarang di Sarawak Bumi Kenyalang. Asal keturunan Melayu Perabangan mengikut sejarahnya terbahagi kepada 3 warisan iaitu dari keturunan Raden Menteri Dipati Jipang, Raja Umar @ Datu Godam dan Kerajaan Sintang.
Report this ad
a. Keturunan Raden Menteri Dipati Jipang @ Datu Merpati Jepang dari Pulau Langka Putra
Kerajaan Santubong telah dibuka oleh Raden Menteri Dipati Jipang atau Datu Merpati Jepang yang telah berhijrah ke Sarawak pada kurun ke-15. Diriwayatkan Datu Merpati Jepang adalah seorang putera yang telah diusir oleh neneknya iaitu Betara Andera Kala sewaktu perebutan kuasa di Pulau Langka Putra (Pulau Jawa). Setelah diusir, beliau telah pergi mengembara ke Johor, Sukadana, Sambas dan Tanjung Datu.
Sewaktu mengembara di Johor, Datu Merpati Jepang telah berkahwin dengan puteri Raja Jarom seorang kerabat diraja Johor iaitu Datu Permaisuri Kemala. Setelah berkahwin, Datu Merpati Jepang telah meneruskan pengembaraannya sehingga ke Tanjung Datu dan disinilah bermulanya pertemuan beliau dengan Datuk Kuli atau Datuk Kuali.
Beliau telah membantu Datuk Kuli yang terdampar di sebuah tanjung dan atas pertolongan ini, Datuk Kuli telah mengundang Datu Merpati Jepang dan pengikut-pengikutnya untuk tinggal di persisiran Sarawak. Memandangkan isterinya Datu Permaisuri Kemala sedang sarat mengandung, Datu Merpati telah berniat untuk tinggal di sebuah penempatan di persisiran Sarawak yang menghadap Laut China Selatan iaitu daerah Santubong.
Setelah beberapa ketika maka isterinya telah melahirkan seorang puteri iaitu anak bongsu mereka yang dinamakan Dayang Seri Bulan. Perkahwinan Datu Merpati juga dikurniakan dengan 2 orang lagi cahayamata iaitu seorang putera lelaki sulung diberi nama Merpati Jepang dan anak keduanya telah meninggal dunia sewaktu di dalam kandungan isterinya Datu Permaisuri Kamala.
Puteri bongsu Datu Merpati Jepang pula yang bernama Dayang Seri Bulan telah dikahwinkan dengan seorang putera raja dari Kesultanan Selangor. Anak sulung lelaki Datu Merpati iaitu Merpati Jepang telah berkahwin dengan anak Ketua Pasir Kuning. Pasir Kuning adalah nama asal Santubong sebelum ditukar nama kepada Santubong selepas itu.
Daripada geneologi keluarga inilah adanya keturunan daripada Datu Undi serta membawa bersama-sama gelaran Datu Patinggi, Datu Bandar, Datu Setia Raja dan banyak lagi sehingga membentuk apa yang dipanggil Melayu Perabangan dari keturunan Datu Merpati Jipang. Antara individu yang berasal dari keturunan ini adalah tidak lain tidak bukan pahlawan Melayu Sarawak yang banyak mewarnai kalendar sejarah Sarawak iaitu Datu Patinggi Abang Ali bin Abang Amir @ Datu Patinggi Ali.
b. Keturunan Raja Umar bin Datuk Bendahara Harun @ Datu Godam dari Pagar Ruyung, Minangkabau, Sumatera Barat
Melayu Perabangan yang merujuk kepada salsilah keturunan Raja Umar @ Datu Godam ini adalah Melayu Perabangan yang berasal dari satu daerah di Sarawak iaitu Saribas dan kawasan sekelilingnya. Melayu Perabangan di Saribas tidak mempunyai kaitan langsung dengan Melayu Perabangan dari Datu Merpati Jipang sebaliknya merujuk kepada seorang lagi putera dari Kerajaan Pagar Ruyung, Minangkabau, Sumatera Barat.
Ini dapat dibuktikan melalui penceritaan sebuah manuskrip lama yang dinamakan Tarsilah Melayu Saribas yang merupakan manuskrip lama yang menjadi rujukan sejarah bagi Kesultanan Brunei Darussalam dan Sarawak sendiri.
Raja Umar bin Datuk Datuk Bendahara Harun @ Dato Gudam @ Datu Gudam @ Abang Godam merupakan seorang putera kepada Bendaro Harun bin Bendaro Ismail. Ayahandanya merupakan anggota “Basa Ampek Balai” iaitu golongan pembesar dari Kerajaan Pagar Ruyung yang mentadbir kerajaan melalui adat Minangkabau. Bendaro Harun bukanlah seorang yang sembarangan kerana Bendaro Harun sendiri merupakan keturunan daripada Raja Suran iaitu individu yang mewarnai sejarah dan legasi Iskandar Zulkarnain, salah seorang pahlawan dunia Melayu Islam sejagat.
Dato Gudam merupakan putera Bendaro Harun hasil perkahwinannya dengan seorang wanita Belanda iaitu puteri kepada Residen Belanda di Sumatera Barat yang bernama Jan Van Groenewegen. Oleh kerana beliau dikatakan bukan “Anak Minang Sejati” akhirnya Datu Godam ditidakkan haknya untuk mewarisi jawatan Bendaro atau Datuk Bendahara di dalam “Basa Ampek Balai” Kerajaan Pagar Ruyung, Minangkabau.
Dengan membawa hati yang kecewa, Dato Gudam membawa diri dengan belayar sambil menjadi peniaga dan pelayarannya itu membawanya sampai ke muara Saribas. Di ketika itu Saribas adalah dibawah kekuasaan seorang pembesar Kesultanan Brunei iaitu Datu Temenggong Abdul Kadir.
Perkenalan antara Datu Temenggung Abdul Kadir dengan Dato Gudam telah menjadi rapat dek kerana baiknya tingkahlaku Dato Godam itu sendiri membawa diri di negeri orang. Atas pengaruh hubungan baik dengan Datu Temenggung Abdul Kadir akhirnya kedatangan Dato Godam ke Brunei Darussallam disambut dengan mesra oleh Sultan Brunei pada masa itu. Sekali lagi betapa baiknya tingkahlaku Dato Godam di mata Sultan Brunei akhirnya beliau diangkat menjadi penasihat kepada Kesultanan Brunei pada waktu itu.
Apabila Sultan Brunei menawarkan diri untuk mencari jodoh buat teman hidup Dato Godam yang ketika itu masih bujang, Dato Godam telah memberikan syarat kepada Sultan Brunei iaitu beliau hanya akan berkahwin dengan isteri ke-3 Sultan Brunei ketika itu iaitu Pengiran Kachi @ Dayang Chi @ Dayang Esah.
Sebenarnya permintaan Dato Godam itu adalah untuk menunaikan janjinya dengan Datu Temenggung Abdul Kadir yang mana Dayang Chi adalah satu-satunya puteri kepadanya dan beliau sebenarnya ingin Dayang Chi sentiasa disampingnya. Kerana sayangnya Sultan Brunei kepada Dato Godam, permintaan itu diterima jua maka Dayang Chi dan Dato Godam pun disatukan mengikut istiadat perkahwinan masyarakat Brunei pada masa itu.
Hasil perkahwinan Dato Godam dengan Dayang Chi telah dikurniakan dengan 2 orang putera yang dinamakan Abdul Rahman dan Said. Di ketika Dato Godam diminta oleh ayahandanya Bendaro Harun untuk kembali ke Pagar Ruyong, Sultan Brunei telah meminta agar Dato Godam meninggalkan salah seorang daripada anaknya di Brunei. Maka dititipkannya putera bongsunya iaitu Said yang kemudiannya dibesarkan di istana Brunei dan diberikan gelaran sebagai Menteri Puteh dan disinilah bermulanya asal keturunan “Awang damit-damit” di Brunei.
Apabila Dato Godam singgah ke Saribas sebelum meneruskan pelayarannya ke kampung halamannya di Pagar Ruyung, ayahanda mentuanya pula sedang sakit tenat dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir dan ketika itulah Dato Godam mewarisi pemerintahan ayahanda mentuanya di Saribas. Putera sulungnya iaitu Abdul Rahman diberikan gelaran Menteri Uban telah meneruskan legasi pemerintahan di Saribas dan melahirkan apa yang dipanggil Melayu Perabangan di Saribas sekarang.
c. Keturunan Sultan Nata dari Kerajaan Sintang, Kalimantan Barat
Melayu Perabangan dari keturunan Kerajaan Sintang pula adalah merujuk kepada satu komuniti Melayu yang tinggal di kawasan perbatasan di Sarawak iaitu sempadan antara Kalimantan Barat dan Sarawak itu sendiri. Kerajaan Sintang yang pada awal penubuhannya adalah dibawah pengaruh Hindu melalui pengasasnya Aji Melayu yang juga merupakan penyebar agama hindu dari Tanah Balang.
Perkahwinannya dengan Putung Kempat telah dikurniakan dengan seorang puteri yang dinamakan Dayang Lengkong. Dari Dayang Lengkong ini telah mewarisi Kerajaan Sintang melalui anakanda-anakandanya iaitu Abang Panjang, Demong Karang, Demong Kara, Demong Minyak, Dayang Setari, Demang Irawan (Jubair Irawan 1) dan Dara Juanti.
Demong Irawan (Jubair Irawan 1) setelah ditabalkan menjadi raja telah memindahkan Kerajaan Sintang dari Desa Tabelian ke persimpangan Sungai Kapuas dan Muara Melawi. Setelah kemangkatannya tampuk pemerintahan diambil oleh Dara Juanti yang mana ketika itu Kerajaan Sintang berada di dalam kemunduran.
Kegemilangan Kerajaan Sintang hanya berada pada kemuncaknya apabila Abang Samad, cicit Dara Juanti ditabalkan namun Kerajaan Sintang pada masa itu masih lagi di bawah pengaruh Hindu. Kerajaan Sintang menjadi sebuah kerajaan Islam apabila rajanya, Abang Pencin memeluk agama Islam. Setelah kemangkatannya diganti pula oleh putera sulungnya iaitu Abang Tunggal @ Sri Paduka Tuanku Tunggal.
Mengikut salsilah Kerajaan Sintang sewajarnya Abang Tunggal menyerahkan tampuk pemerintahan kepada puteranya iaitu Pangeran Purba namun begitu Pangeran Purba telah berkahwin dengan puteri kepada Raja Nanga Mengkiang dan menetap di negeri sebelah isterinya manakala Abang Itut masih kecil. Oleh kerana itulah Abang Tunggal telah memilih anak saudaranya iaitu anak kepada kakandanya, Nyai Cili isteri kepada Mangku Negara Melik iaitu Abang Nata untuk mewarisi sebagai raja di Kerajaan Sintang. Abang Nata yang ditabalkan menjadi raja Kerajaan Sintang bergelar Sri Paduka Tuanku Sultan Nata Muhammad Syamsuddin Sa’adul Khairi Waddin.
Bagindalah raja Kerajaan Sintang yang pertama menggunakan gelaran Sultan di dalam Kerajaan Islam Sintang. Semasa pemerintahan Sultan Nata inilah perkembangan Islam di bumi Sintang telah gah sekali. Telah didirikan sebuah masjid yang dinamakan Masjid Sultan Nata di Sintang dan ketika inilah jajahan takluk Kerajaan Sintang telah memanjang sehingga ke Daerah Ketungau Hilir dan Ketungau Hulu, provinsi sempadan Kalimantan Barat dan Sarawak dan juga Melawi. Seperti sultan yang lain, Sultan Nata telah berkahwin dengan golongan diraja di dalam kerajaan di Kalimantan Barat iaitu baginda menikahi Putri Dayang Mas Kuma, seorang puteri dari Kerajaan Sanggau. Hasil perkahwinan ini telah dikurniakan seorang putera iaitu Abang Adi Abdurrahman.
Setelah Sultan Nata mangkat pada tahun 1150H yang kemudiannya disemadikan di Kampung Sungai Durian Sintang, Abang Adi Abdurrahman telah ditabalkan menjadi Sultan yang bergelar Sri Paduka Tuanku Sultan Abdurrahman Muhammad Jalaluddin. Baginda juga dikenali dengan jolokan Sultan Aman kerana semasa pemerintahan baginda, Kerajaan Sintang amat aman sentosa sehingga tiada kekacauan yang dilaporkan. Pernikahan Sultan Aman dengan Utin Purwa iaitu seoran puteri kepada Raja Sanggau telah dikurniakan dengan 2 orang anak iaitu Abang Adi Abdurrasyid dan Raden Machmud. Pernikahan dengan isteri keduanya pula dikurniakan dengan seorang putera yang bernama Abang Tole.
Setelah kemangkatan Sultan Aman, Abang Adi Abdurrasyid yang ditabalkan menjadi Sultan Kerajaan Islam Sintang dengan menggunapakai gelaran Sri Paduka Tuanku Sultan Abdurrasyid Muhammad Jamaluddin. Sultan Abdurrasyid memerintah dalam waktu yang singkat kerana baginda jatuh gering dan akhirnya mangkat pada tahun 1210H. Kemudian Kerajaan Islam Sintang telah diperintah oleh anakanda Sultan Abdurrasyid iaitu Abang Adi Nuh. Abang Adi Nuh telah menggelar dirinya sebagai Sri Paduka Tuanku Pangeran Sultan Adi Nuh Muhammad Qamaruddin.
Pada masa inilah Kerajaan Sintang telah mulai didatangani oleh Belanda dan telah memberi tekanan yang hebat kepada pemerintahan Kerajaan Islam Sintang. Setelah kemangkatan Sultan Adi Nuh, putera baginda iaitu Abang Ismail telah ditabalkan menjadi Sultan Kerajaan Islam Sintang. Gelaran bagi Abang Ismail adalah Sri Paduka ‘Tuanku Sultan Gusti Ismail Kesuma Negara.
Dikala ini, pemerintahan Belanda telah memberikan tekanan yang hebat sehinggalah pemerintahan Belanda telah masuk campur di dalam urusan Kerajaan Sintang. Selepas itu dikatakan pemegang tampuk Kerajaan Islam Sintang hanya boneka Belanda sehingga menyebabkan ramai golongan bangsawan Kerajaan Sintang termasuk pembesar-pembesar Kerajaan Sintang telah berhijrah membawa diri ke Sarawak sehingga membentuk masyarakat Melayu Perabangan di perbatasan Sarawak.
2. Melayu Arab Sarawak
Melayu Arab Sarawak adalah merujuk kepada komuniti Melayu Sarawak yang menggunapakai marga nama keluarga (surname) “Syeikh”, “Syed”, “Sharif”, “Tuanku”, “Wan” bagi lelaki dan Sharifah bagi perempuan. Keberadaan komuniti Melayu Arab Sarawak ramai bertaburan di bumi Sarawak dan mereka juga mempunyai asal keturunan yang unik untuk kita ketahui. Komuniti Melayu Arab Sarawak ini berkait langsung dengan sebuah kerajaan yang hilang di Kalimantan Barat yang bernama Kerajaan Kubu.
Dikatakan bahawa Kerajaan Kubu ini diasaskan oleh salah seorang daripada 45 saudagar Arab yang datang ke nusantara untuk menyebarkan ajaran Islam dan disamping untuk berniaga. 45 orang saudagar ini adalah dipercayai berasal daripada Hadaral-Maut di wilayah Selatan Yaman. Mereka ini adalah daripada keturunan Bani Alawi yang mempunyai kaitan kepada Sayyid Alawi bin Ubaidullah bin Ahmad bin Isa Al-Muhajir. Ahmad bin Isa Al-Muhajir dikatakan telah meninggalkan Kota Basra di Iraq bersama-sama dengan keluarga dan pengikut-pengikutnya untuk berhijrah ke Yaman.
Sayyid Alawi bin Ubaidullah merupakan cucunda pertama yang dilahirkan di Hadaral-Maut dan akhirnya membentuk Bani Alawi di dalam salsilah keturunan keluarga Arab di sana. Disinilah bermulanya penggunaan nama keluarga Sayid atau Sharif (lelaki) atau sharifah (perempuan) yang mengkhusus kepada keluarga bangsawan dan pembesar dari golongan Bani Alawi di Yaman. Hubungkait 45 saudagar bangsawan dari Bani Alawi ini dengan Kerajaan Kubu adalah pengasasnya iaitu Syarif Idrus yang menggunapakai Sayidis Syarif Idrus bin Abdurrahman Al Aydrus, Tuan Besar Raja Kubu yang pertama.
Dikatakan sebelum mereka ini membentuk sebuah Kerajaan Kubu mereka sebenarnya telah pun belayar dan berniaga serta berlabuh di Palembang, Semarang, Sukadana dan Mempawah. Kedudukan strategik Kerajaan Kubu yang terletak di Sungai Kapuas telah menarik minat untuk Syarif Idrus membina sebuah kerajaan di sana ditambahlagi mendapat sokongan daripada masyarakat pribumi di sana.
Kerajaan Kubu dikatakan telah berjaya menarik minat ramai saudagar dari negara atas angin untuk berniaga dan ini telah memakmurkan Kerajaan Kubu sebagai sebuah kerajaan yang kuat pada masa itu. Kerajaan Kubu sebenarnya diasaskan di dalam sebuah kubu yang diperbuat daripada kayu dan tanah liat yang menjadikannya sebuah kubu yang kuat dan mampu bertahan daripada serangan musuh pada waktu itu.
Sesuai dengan asal keturunan daripada Bani Alawi, Syarif Idrus telah sentiasa memberi sokongan untuk menjadikan Kerajaan Kubu sebagai hub pengembangan syiar Islam di seluruh kepulauan Borneo pada masa itu.
Pembinaan Masjid Jamek Khairussadah telah memungkin perkara ini berlaku ditambah lagi baginda memohon bantuan daripada penyiar Islam dari Yaman untuk membantu baginda di dalam urusan pengembangan agama Islam. Golongan pendakwah ini telah diangkat menjadi pembesar di Kerajaan Kubu iaitu . Syed Hamzah Al-Baraqbah, Syed Ali As-Shahbuddin dan Syed Ahmad Faluqa. Dipercayai bahawa golongan melayu yang mengguna pangkal nama Syed (Lelaki) dan Sharifah (Perempuan) adalah keturunan secara langsung kepada pembesar-pembesar di dalam Kerajaan Kubu ini.
Setelah Syarif Idrus mangkat kerana ditikam oleh pengikutnya sendiri yang menyangka baginda adalah musuh yang memecah masuk ke istana, Baginda mangkat pada hari Ahad, 26 Zulkaedah 1209 H (1794 M) dan dimakamkan berdekatan dengan Masjid Jamek Khairussa’adah.
Kerajaan Kubu kemudian telah diperintah oleh putera sulung baginda iaitu Syarif Muhammad. Di kala Syarif Muhammad naik takhta, penguasaan Belanda telah cukup kuat di Kalimantan Barat sehingga memaksa baginda untuk membuat perjanjian dengan Kerajaan Belanda dan tunduk kepada pemerintahan mereka. Perkara ini amat tidak dipersetujui oleh saudara kandungnya iaitu putera Syarif Alwi Al-Idrus. Kerana kecewa dengan tindakan kakandanya, Syarif Alwi Al-Idrus telah bertindak membawa keseluruhan kaum keluarganya serta beberapa pengikutnya yang setia berhijrah ke tempat lain.
Ada antara pengikutnya yang setia ini adalah daripada keturunan pembesar Kerajaan Kubu yang mengguna pangkal nama Syed. Menurut penceritaan lisan dikatakan bahawa kerana kebencian yang amat sangat Syarif Alwi Al-Idrus kepada Belanda, beliau telah bertindak menaikkan bendera Inggeris di Gunung Ambawang bersama-sama pengikutnya.
Bertindak daripada itu, Kerajaan Belanda telah memburu dan mengejar Syarif Alwi dan pengikutnya sehinggalah kumpulan Syarif Alwi dan pengikutnya ini memasuki wilayah Sarawak dan seterusnya menetap di Sarawak dan membentuk masyarakat Melayu Sarawak yang berhijrah daripada kabupaten-kabupaten Kalimantan Barat. Kerajaan Kubu pula telah lenyap menjadi sebuah kerajaan berdaulat setelah diserahkan menjadi sebahagian Republik Indonesia pada kurun ke-19 masihi.
Syarif Alwi dan pengikut-pengikutnya akhirnya menjadi masyarakat Melayu Sarawak yang memperturunkan warisan salsilah keluarga mereka melalui perkahwinan dengan masyarakat Sarawak yang lain. Keluarga pada pangkal nama Tuanku dan Sharifah adalah keluarga yang perkahwinannya adalah diantara keturunan bangsawan yang sama. Antara nama besar yang berkait secara langsung dengan salsilah keluarga Kerajaan Kubu di Sarawak adalah Mantan Yang Dipertuan Negeri Sarawak Gabenor Tuanku Haji Bujang bin Tuanku Haji Othman. Beliau merupakan keturunan secara langsung dengan Tuanku Othman bin Syarif Mokhsin bin Syarif Alwi bin Syarif Idrus, Raja Kerajaan Kubu.
Untuk keluarga berpangkal nama “Syed” dan “Sharifah” adalah keluarga daripada perkahwinan pembesar bangsawan yang menjadi pengikut Sharif Alawi ke Sarawak dan akhirnya untuk “Wan” dan “Sharifah” ada cerita lisan yang memperkatakan bahawa penurunan pangkal nama kepada “Wan” bagi lelaki adalah kerana suatu waktu dahulu ketika Rajah James Brooke memerintah, mereka telah diarahkan untuk menukar pangkal nama mereka kepada “Wan” memandangkan Rajah James Brooke kurang senang dengan panggilan nama “Tuanku” yang seperti menampakkan adanya keturunan “Raja” di Sarawak manakala Rajah James Brooke merupakan satu-satu raja di Sarawak yang harus dihormati ketika itu. Jadi tidak menghairankan mengapa adanya keluarga-keluarga ini mengubah pangkal nama mereka demi kelangsungan hidup pada suatu waktu dahulu.
3. Melayu Brunei Sarawak
Umum mengetahui bahawa Sarawak dahulunya merupakan tanah kuripan kepada pembesar-pembesar Kesultanan Brunei Darussalam. Di kala itu pembesar-pembesar Kesultanan Brunei akan dianugerahkan dengan tanah jajahan dan mereka akan memajukan tanah kuripan mereka mengikut acuan mereka sendiri dan akan menghantar sedikit penghasilannya kepada Sultan Brunei sebagai saguhati. Dan kerana sejarah inilah adanya pembesar-pembesar Brunei yang bertapak di bumi Sarawak dengan menggunakan pangkal nama keluarga “Pengiran”, “Awangku”, “Awang” bagi lelaki dan Dayang bagi perempuan.
Nama-nama besar seperti Pengiran Arshad iaitu gabenor bagi Mukah, Pengiran Indera Mahkota iaitu gabenor Sarawak (sekarang Kuching), Raja Muda Hashim iaitu ayahanda saudara Sultan Brunei yang datang membantu menyelesaikan masalah di Sarawak sehingga memungkinkan James Brooke menjadi Rajah Brooke di Negara Sarawak dahulu tidak boleh dipertikaikan. Komuniti masyarakat Melayu Brunei yang menggunakan nama marga keluarga “Pengiran”, “Awang”, “Awangku” dan “Dayang”, “Dayangku” adalah legasi keturunan perkahwinan dari pembesar-pembesar serta masyarakat dari melayu Brunei yang menjadi sebahagian daripada pembentuk masyarakat Melayu yang sekarang bertaburan kewujudannya di Sarawak Bumi Kenyalang.
4. Melayu Campuran Etnik-etnik Sarawak
Melayu Campuran etnik-etnik Sarawak adalah merujuk kepada komuniti melayu Sarawak yang mempunyai darah campuran daripada pelbagai etnik-etnik di Sarawak samada menerusi perkahwinan, kesamaan adat, warisan dan budaya Melayu yang menjadi penghidupan mereka seharian.
Contohnya adalah daripada etnik Miriek yang dikategorikan menjadi Melayu kerana adanya kesamaan daripada segi adat warisan dan budaya. Ini juga terjadi kepada etnik Melanau Sarawak yang beragama Islam kerana adanya kesamaan dari segi agama dan budaya serta adat warisan Melayu di dalam penghidupan mereka.
Asal-usul keturunan mereka sudah tentu mempunyai jalan cerita yang berbeza jika dibandingkan dengan 3 lagi kategori komuniti Melayu Sarawak yang sudah diperjelaskan namun mereka tetap Melayu Sarawak walaupun sejarah keturunan mereka berbeza baik dari segi sejarah mahupun cerita legenda mereka.
Inilah pencerahan daripada Borneo Oracle tentang pemahaman asal-usul komuniti Melayu di Sarawak Bumi Kenyalang. Sejarah asal-usul keturunan komuniti Melayu Sarawak begitu unik serta mempunyai identiti yang tersendiri. Usahlah keberadaan Melayu Sarawak ditidakkan hanya kerana kecelaruan “politiking” sesetengah pihak sedangkan kita ini berbangga menjadi Anak Sarawak, Bangsa Sarawak, yang sentiasa mengamalkan toleransi kaum dan agama yang terbaik di dalam Gagasan Malaysia. Semoga pencerahan ini dapat membantu kefahaman kepada generasi Malaysia amnya serta generasi Sarawak khususnya di dalam mengenal jati diri Bangsa Sarawak dari etnik Melayu.
Nyiur gading puncak mahligai
Umbut nyiur masak berlemak
Hancur tulang daging berkecai
Takkan Melayu Hilang Di Sarawak!
#KamekSayangSarawakBah!
Comments
Post a Comment