Hormatilah Diri Sendiri untuk Dihormati

Salah satu nilai murni yang sentiasa saya tekankan kepada para pelajar semasa bergelar pendidik ialah nilai menghormati diri sendiri. Ungkapan “hormati diri sendiri, nescaya diri akan dihormati” bukan sekadar slogan, tetapi satu prinsip kehidupan yang perlu difahami dan diamalkan secara konsisten.

Nilai ini sering saya war-warkan sama ada ketika proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah mahupun semasa perhimpunan pelajar. Sekiranya prinsip ini benar-benar diamalkan, bukan sahaja rakan sekelas akan menghormati kita, malah seluruh kejiranan dan masyarakat sekeliling juga akan memandang tinggi terhadap diri kita.

Menghormati diri sendiri bukanlah sesuatu yang rumit. Ia bermula dengan sikap dan akhlak yang kita pamerkan setiap hari, antaranya:

  • Hormat dengan tidak bercakap kasar, kerana tutur kata mencerminkan keperibadian.

  • Hormat dengan tidak berbohong, kerana kejujuran membina kepercayaan.

  • Hormat dengan tidak merendahkan orang lain, kerana merendahkan orang lain tidak pernah meninggikan martabat diri sendiri.

  • Hormat dengan tidak bersikap angkuh, kerana kesombongan hanya menjauhkan manusia.

  • Hormat dengan menjauhi ego, kerana ego yang tidak terkawal sering memusnahkan hubungan.

Intipatinya

Menghormati diri sendiri bermaksud kita mendidik diri untuk menghormati orang lain, menjaga tutur kata, sikap dan tindakan, serta menjauhi perbuatan yang bersifat provokatif. Apabila seseorang gagal menghormati dirinya sendiri, secara tidak langsung dia membuka ruang untuk orang lain membalas dengan provokasi, cemuhan atau ketidakhormatan. Akhirnya, maruah diri sendiri yang tergadai.

Sebaliknya, jika setiap individu dalam masyarakat mengamalkan sikap menghormati diri sendiri, maka lahirlah sebuah masyarakat yang harmoni —
hormat antara individu, hormat antara komuniti, malah hormat antara kaum.

Hormatilah diri kita, kerana dari situlah bermulanya penghormatan orang lain terhadap kita.

 

24012026 Bintangor 

 

 

Comments